Saturday, April 3, 2010

PENGERTIAN TAFSIR

Tafsir dari segi bahasa berasal dari kata فسر – يفسر – تفسرا. Menurut Ibnu Manzur tafsir ialah “menerangkan maksud lafaz yang tidak jelas”. Ibnu Abbas pula mengatakan وأحسن تفسيرا ialah bermaksud “penjelasan”.
Manakala tafsir dari sudut istilah ulamak dan para ahli ilmu mengatakan ianya ialah ilmu yang mengkaji mengenai maksud dan lafaz ayat dalam al-Quran, hukum dan hakam serta pengajaran dan manfaat dari al-Quran.
Menurut Zarqasyi tafsir bermaksud ilmu untuk memahami kitab Allah s.w.t. yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta menjelaskan maknanya dan mengeluarkan hukum-hakam dan pengajaran.

Menurut Dr. Manna’ Khalil Qathan dalam Mabahis fi Ulum Quran maksud tafsir dari sudut bahasa ialah penerangan dan menyingkap sesuatu, menjelaskan sesuatu atau menyingkap sesuatu rahsia. Maksud tafsir dari segi istilah pula ialah ilmu untuk memahami kitab Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan menjelaskan maknanya serta mengeluarkan hukum-hukum dan pengajaran yang dipetik dari al-Quran.
Takrif yang diberikan oleh Abu Hayyan tentang ilmu tafsir dalam kitabnya ‘al-Bahru al-Mahith’ sebagai berikut:
“Ilmu Tafsir ialah ilmu yang membicarakan tentang bagaimana hendak menuturkan perkataan-perkataan al-Quran (dari segi tajwid) dan memberikan makna menurut keadaan perkataan dan hukuman-hukuman pada ketika ia satu perkataan (mufrad) dan pada ketika bersusun (murakab) dan makna-makna yang boleh diertikan pada ketika hakikat atau majaz. Juga membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan nasikh dan mansukh dan sabab nuzul.”

Ilmu tafsir juga ditakrifkan sebagai ilmu yang menjelaskan makna ayat sesuai dengan dilalah (petunjuk) yang zahir (lahir) dalam batas kemampuan manusia. Ertinya ilmu tafsir mengkaji bagaimana menjelaskan kehendak Allah s.w.t. yang terkandung dalam al-Quran melalui lafaz dan makna serta menjelaskan hukum-hukum yang dikandungnya, sesuai dengan kemampuan mufassir (ahli tafsir).[1]

Di dalam al-Quran ada disebut perkataan tafsir. Firman Allah s.w.t.:
“Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu).
(al-Furqan 25: 33)

Kepentingan mempelajari ilmu tafsir iaitu dapat memahami makna-makna al-Quran dengan lebih sempurna dan tepat; mengeluarkan hukum yang terkandung di dalamnya; dan mengelakkan seseorang dari memahami ayat dengan cara yang salah atau menyeleweng dari maksud yang sebenar.

Syarat menjadi penafsir al-Quran menurut Dr. Fauzi Deraman (dan rakan) seseorang ahli tafsir itu perlulah mempunyai syarat-syarat berikut:
1. Akidah yang benar. Syarat ini mengelak seseorang mufassir untuk melakukan penyelewengan terhadap ayat-ayat al-Quran dan juga penipuan dalam periwayatan.
2. Bersih daripada hawa nafsu kerana ia akan mendorong dirinya membela dan menegakkan kepentingan dan keperluan mazhabnya semata-mata sehingga ia berupaya menipu manusia lain dengan ucapan-ucapan lembut dan keterangan-keterangan yang menarik minat seseorang.
3. Mempunyai keahlian dalam bidang hadis, riwayat dan dirayah kerana hadis-hadis nabi merupakan penjelasan dalam menafsirkan ayat-ayat mujmal dan mubham dan seterusnya hadis-hadis akan membantu pentafsir dalam menerangkan segala kemusykilan yang timbul berhubung dengan perkara ini.
4. Mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang bahasa dan ilmu-ilmu yang berkaitan memandangkan pentafsiran ayat-ayat al-Quran berkait rapat dengan i`rab perkataan dan tatabahasa.
Mujahid bin Jabr berkata:
”Tidak wajar bagi seseorang yang beriman dengan Allah s.w.t. dan hari akhirat memperkatakan mengenai kitab Allah sedangkan dia tidak mengetahui dialek-dialek bahasa Arab.”
5. Berpengetahuan dalam ilmu qiraat kerana dengannya seseorang itu dapat mengetahui cara-cara mengucapkan lafaz-lafaz al-Quran dan dapat pula memilih bacaan yang lebih kuat di antara pelbagai ragam bacaan yang ada. Malah qiraat juga dapat mempastikan maksud yang sebenar apabila berlakunya perselisihan.
6. Mengetahui dalam ilmu Nahu dan Sarf kerana pemahaman sesuatu ayat kebanyakannya memerlukan kepada kebolehan mengi`rab sesuatu perkataan dan seseorang yang tidak memiliki dua ilmu ini akan mendedahkan pentafsiran al-Quran kepada penyelewengan.
7. Berpengetahuan yang luas dalam bidang Ulum al-Quran yang dapat membantu memahami ayat-ayat al-Quran dengan betul dan mendalam. Contohnya, Asbab an-Nuzul akan menolong mufassir dalam memahami maksud ayat berdasarkan latar belakang penurunan ayat.
8. Mendalami ilmu Usuluddin dan ilmu tauhid kerana dengannya seseorang mufassir diharapkan dapat mentafsirkan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan ketuhanan dan hak-hak Allah dengan betul serta tidak mentakwilkannya dengan sewenang-wenangnya.
9. Berpengetahuan dalam Usul Fiqh kerana ia dapat membantu mufassir bagaimana hendak membuat kesimpulan dari ayat-ayat al-Quran dan berdalil dengannya. Begitu juga mengenai ayat-ayat mujmal dan mubayyan, umum dan khusus, mutlak dan muqayyad serta amar dan nahi.
10. Mengetahui ilmu-ilmu lain seperti ilmu sosiologi dan antropologi, zoologi dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan maklumat umum seperti sejarah, geografi, psaikologi dan sebagainya. Semuanya dapat membantu dalam mentafsirkan al-Quran selaras dengan tuntutan kehidupan.
11. Memulakan tafsir al-Quran dengan al-Quran itu sendiri. Perkara yang diterangkan secara ringkas di satu tempat dijelaskan secara terperinci di tempat yang lain.
12. Mentafsirkan al-Quran dengan as-Sunnah kerana as-Sunnah adalah penjelas kepada al-Quran.
13. Sekiranya tidak terdapat tafsiran al-Quran dari as-Sunnah, maka hendaklah dirujuk kepada pandangan para sahabat kerana mereka lebih memahami perkara tersebut disebabkan mereka telah menyaksikan penurunan wahyu dan latar belakangnya.
14. Merujuk kepada pendapat tabi`in jika tidak terdapat tafsiran para sahabat dengan syarat terdapat pada riwayat yang sahih.

[1] Drs. H.A. Hafizah Dasuki, M.A. (2006). Ensiklopedia Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jilid 5. hlm 29.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment