Monday, March 15, 2010

HIMPUNAN DOA MAJLIS (SEKOLAH)

DOA PERHIMPUNAN PAGI

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الانبيآء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
اصبحنا واصبح الملك لله والحمد لا سريك له اصبحنا على فطرة الاسلام وكلمة الاخلاص وعلى دين نبيينا محمد صلى الله عليه وسلم وعلى ملة ابينا ابراهيم حنيفا وماكان من المشركين

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan melainkan Engkau. Engkau telah menjadikan kami dan kami adalah hambamu, kami berlindung dengan Mu dari segala kejahatan.

Kami bersyukur ke atas segala nikmat Mu ke atas kami dan kami mengaku dengan dosa kami, maka ampunilah kami, maka sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampunkan segala dosa kami melainkan Engkau.

Ya Allah Ya Tuhan kami, di pagi yang penuh keberkatan ini, kami menadah tangan memohon dan merayu kepada Mu ya Allah, Engkau ampunkanlah segala dosa-dosa kami, Engkau ampunkan jua dosa kedua ibu bapa kami serta mereka yang berjasa kepada kami.

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau peliharalah kehormatan kami, Engkau perelokkan akhlak kami, Engkau mantapkanlah keimanan kami, Engkau terangkanlah hati kami untuk menerima ilmu pengetahuan daripada Mu ya Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau jadikanlah kami anak-anak yang soleh serta pelajar yang berjaya di dunia dan akhirat.
Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau berikanlah kekuatan kepada warga pendidik di sekolah ini untuk mendidik dan memimpin kami ke jalan yang Engkau redai ya Allah.

Ya Allah terangkanlah hati kami bagi kami menerima dan memahami segala ilmu yang dicurahkan kepada kami.

Ya Allah, jadikanlah awal pagi ini, penuh kerahmatan, pertengahan hari kami keampunan dan keberkatan dan akhir hari ini dengan keselamatan dan kejayaan yang berpanjangan.

Ya Allah, kuatkanlah hati kami untuk mematuhi segala perintah Mud an segala peraturan sekolah. Hindarilah kami dari menjadi hamba Mu yang ingkar kepada perintah dan peraturan.


ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
DOA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN

بسم الله الرحمن الرحيم الحمدلله الذى هدانا لهذا وماكنا لنهتدى لولا ان هدانا الله اللهم صلى وسلم على اشرف المرسلين حبيبنا محمد الامين وعلى اله وصحبه اجمعين ومن تبيعهم باحسان الى يوم الين

Di hari yang penuh bererti ini, kami menadah tangan bersyukur dengan kejayaan dan kecemerlangan yang engkau kurniakan kepada kami sepanjang tahun ini. Namun begitu ya Allah, kami adalah manusia yang lemah serta serba kekurangan yang tidak sunyi dari sebarang kesilapan dan kealpaan, lantaran itu kami memohon keampunan atas segala kelemahan, kekurangan dan kecacatan yang kurang menepati kehendak Mu ya Allah.

Kami memohon kepada Mu supaya kami menjadi golongan yang sentiasa bermuhasabah diri bagi memperbaiki kualiti diri, pengurusan dan pentadbiran untuk tahun yang mendatang.

Segala puji bagi Allah yang telah memberi kekuatan kepada kami melangkah terus ke hadapan dalam menabur bakti mendidik anak bangsa kami. Kami bersyukur dalam menjalani tugas kami ini, walau pun berhadapan dengan seribu liku namun dengan berkat kesabaran yang telah Engkau sematkan ke dalam hati kami akhirnya kami berjaya mendidik pelajar-pelajar kami menjadi insan yang berjaya dalam kurikulum dan juga kokurikulum.

Pada pagi yang penuh barakah ini kami berhimpun bagi menyatakan rasa kesyukuran terhadap kejayaan dan kecemerlangan anak-anak didik kami.

Ya Allah jadikanlah bakat dan kebolehan yang Engkau berikan kepada kami untuk kami menyumbang bakti dalam amal soleh dan kebajikan bagi memajukan agama, masyarakat dan Negara kami.
Ya Allah, jadikanlah kami hamba Mu yang bersyukur di atas anugerah yang Engkau berikan kepada kami untuk kami hidup dan melaksanakan syariat Mu.

Ya Allah, ya Rahman ya Rahim, jadikanlah kami hamba Mu yang tidak lupa diri dan sentiasa mengingati jasa guru-guru kami. Jadikanlah sumbangan dan pengorbanan mereka sebagai amal soleh yang mendapat kerahmatan dan keberkatan dunia dan akhirat. Engkau sejahterakanlah anak didik kami agar terus berjaya dalam apa juga lapangan yang Engkau redhai.

Ya Allah, kami merasa bangga dan bersyukur atas kejayaan anak-anak kami ini. Engkau berilah kekuatan kepada mereka untuk meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang.

Ya Allah, bukakanlah hati anak-anak kami yang lain agar mereka menjadikan rakan-rakan yang cemerlang ini sebagai contoh untuk mereka berusaha mencapai kecemerlangan dan kejayaan sebagaimana rakan mereka yang telah berjaya.

ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
DOA MESYUARAT AGONG PIBG

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين وبه نستعين على امور الدنيا والدين اللهم صلى وسلم على سيدنا محمد سيد المرسلين وعلى اله واصحابه والتابعين الى يوم الدين

Ya Allah ya Rahman ya Rahim, jadikanlah majlis kami pada hari ini untuk kami mengingati tanggongjawab dan amanah dalam mendidik anak-anak kami. Engkau berikanlah kesedaran dan keinsafan kepada kami untuk kamai memenuhi tanggongjawab dan memberi ruang serta masa kami untuk mendidik anak-anak kami ke jalan yang Engkau redai.

Jadikanlah kami ya Allah, ibubapa dan guru yang sentiasa berusaha kearah menjadikan anak-anak kami generasi yang terpelajar dan soleh.

Ya Allah ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dalam mendidik anak-anak kami, sesungguhnya kami sedar perhatian dan masa yang kami berikan kepada anak-anak kami terlalu sedikit, oleh itu ya Allah Engkau berikanlah kekuatan kepada kami bagi kami memperbaiki dan mempertingkatkan usaha kami dalam memberi perhatian kepada anak-anak kami.

اللهم اجعل جمعنا هذا جمعا مرحوما وتفرقنا من بعده تفرقا معصوما ولاتجعل اللهم مافينا ولايتبعنا شقيا ولا محروما
ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
DOA HARI KEMERDEKAAN

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الانبيآء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
اللهم ربنا ورب كل شئ

Ya Allah segala puji bagi Mu yang mencipta alam semesta. Pada hari ini kami berhimpun bagi memanjatkan rasa kesyukuran di atas nikmat kemerdekaan yang telah Engkau kurniakan kepada kami. Lantas mengingat dan menyedarkan kami dengan penuh keinsafan terhadap kekayaan dan kekuasaan Mu.

Kemerdekaan yang telah Engkau berikan kepada tanah air kami adalah nikmat yang tidak dapat kami nukilkan dengan kata-kata. Kami mengharapkan hasil perhimpunan patriotic yang sebegini dapat mencambahkan minda kami dan seterusnya mengikat hati-hati kami dengan perasaan kasih dan cinta kepada Mu.

Ya Allah yang telah menetapkan tanah air kami ini pada kedudukan geografi yang amat strategik sehingga kemudiannya tanah air dikunjungi oleh ramai orang dengan berbagai-bagai tujuan dan kepentingan. Kemudian Engkau telah melimpahkan segala nikmat dan rezeki ke atas tanah air kami sama ada di darat mahu pun di laut, sehingga tanah air kami menjadi rebutan dan igauan bangsa asing.

Dengan penuh keegoan dan kerakusan tanah air kami ini telah dijajah oleh bangsa asing lebih ……….. tahun lamanya.

Ya Allah yang telah mengurniakan kemerdekaan kepada tanah air kami. Kami amat berasa insaf di sebalik kemerdekaan ini tersembunyi seribu makna dan harapan. Kemerdekaan yang terbina atas kemelut rasa cinta yang membara kepada kebebasan daripada belenggu penjajah.
Kami amat bersyukur kepada Mu kerana dengan kemerdekaan ini dapat kami lebarkan ruang-ruang kehidupan kami sehingga kami merasa lebih selesa dan lebih harmoni seterusnya dapat kami beribadah dan mengabdikan diri kepada Mu serta memenuhu tuntutan Mu agar Negara kami dibangunkan semula atas syariat Mu.

Ya Allah sudilah kiranya Engkau jadikan kami ini orang-orang yang sentiasa beroleh kejayaan dengan memanfaatkan nikmat kemerdekaan ini sepenuhnya. Celikkanlah hati kami daripada buta setelah melihat kehancuran umat-umat yang terdahulu angkara ingkar kepada Syariat Mu.

Kami bermohon kepada Mu, teguhkanlah pendirian kami agar sentiasa terhindar daripada segala bentuk penjajahan oder baru dalam dunia serba moden, dunia tanpa sempadan.

Ya Allah, teguhkanlah hati-hati kami dari tertawan kepada keasyikan duniawi sehingga meruntuhkan akhlak. Jauhilah anak-anak bangsa kami daripada gejala negetif yang tidak bermanfaat apatah lagi daripada dadah durjana musuh nombor satu Negara kami.

Hindarilah kami ya Allah dari segala bentuk penjajahan sama ada pemikiran mahu pun fizikal sehingga terpaksa bergantung kepada bangsa asing yang berupa musuh syariat Mu. Hindarilah kami ya Allah dari musuh-musuh nyata dan musuh-musuh yang tidak nyata.

Ya Allah sudilah kiranya Engkau semaikan di dalam hati kami bibit-bibit kecintaan dan kerinduan kepada kerukunan dan kedamaian. Jalin teguhkanlah hati-hati kami rakyat Malaysia dengan ikatan perpaduan dan muafakat sehingga membentuk sebuah negara yang berdaulat atas syariat Mu.

Engkau bimbing kasihkanlah murid-murid di Negara kami agar sentiasa tabah dan terpelihara daripada kerosakan dan kebinasaan. Permudahkanlah mereka menerima apa bentuk kebaikan dan tutupkanlah apa juga jalan yang mengarahkan mereka kepada jalan kejahatan.

Ampunkanlah kami ya Allah, serta rahmatilah roh-roh para pejuang kemerdekaan Negara kami. Betulkanlah segala kesilapan kami ya Allah, redhakanlah kehidupan kami ya Allah dan sinarilah Nur Mu ke dalam hati-hati kami.

ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
DOA SEBELUM MEMULAKAN PERJALANAN (LAWATAN SAMBIL BELAJAR)

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الانبيآء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
اللهم ربنا ورب كل شئ

Ya Allah Engkaulah teman dalam perjalanan agar kami selamat sampai ke destinasi. Sesungguhnya kamu memohon kebaikan dan taqwa dalam perjalanan ini. Permudahkanlah perjalanan kami dan berikanlah kami sepanjang perjalanan ini tubuh badan yang sihat. Sampaikanlah kami ke tempat yang kami tujui sehingga sempurna hajat kami.

Jadikanlah perjalanan kami ya Allah, untuk kami melihat keindahan alam ciptaan Mu agar kami insaf betapa kerdilnya kami di sisi Mu dan jadikanlah kami hamba-hamba Mu yang sentiasa berzikir dan memuji kebesaran dan keagongan ciptaan Mu.

Berikanlah pengajaran yang berguna hasil dari perjalanan ini agar kami dapat memanfaatkannya kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain. Teguhkanlah hati kami dalam menerima apa juga ujian Mu dalam perjalanan ini.

Maha suci Allah yang memudahkan perjalanan ini dan sesungguhnya kepada Engkaulah kami mengadu dan memohon pertolongan.
ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
DOA HARI GURU

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله الذين انعم علينا بنعمتى الايمان والاسلام والصلاة والسلام على اشرف الانبيآء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين اللهم ربنا ورب كل شئ

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang diutus untuk membawa rahmat kesekalian alam.
Ya Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, kami menghadap wajah merafakkan sembah, menadah tangan memohon kurniaan rahmat Mu yang maha luas, Apalah kiranya Engkau berkati majlis ini untuk mengenangkan jasa guru-guru kami dengan satu penghargaan yang sewajarnya. Sesungguhnya penghargaan Mu lebih tinggi daripada itu.

Ya Allah ya rahman ya rahim, Sesungguhnya jasa guru kami sangatlah besar, cahayanya menyinari ke serata alam, menyingkap tabir kejahilan. Maka sewajarnyalah mereka memperoleh penghormatan dan penghargaan dari kami dan dari Mu jua ya Allah. Oleh itu ya Allah kami memohon belas kasihan Mu khusus untuk sekalian guru-guru kami, berilah pada mereka taufik dan hidayah, rezeki yang halal, umur yang panjang, badan yang sihat agar amal bakti mereka beterusan.

Ya Allah ya tuhan kami, Engkai ampunkanlah segala dosa dan pengabaian guru-guru kami sekiranya ada, ketika mereka menjalankan kerjaya sebagai seorang guru.

ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
DOA HARI KO KURIKULUM

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الانبيآء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
اللهم ربنا ورب كل شئ

Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya pertemuan kami pada hari ini adalah bagi menyatakan rasa kesyukuran atas segala kurniaan Mu kepada kami agar kami dapat meneruskan segala usaha baik kami.

Ya Allah, Engkau jadikanlah khidmat bakti mereka yang terlibat dalam majlis ini dikira sebagai amal soleh. Kami jua memohon kepada Mu agar bakat dan kebolehan yang Engkau anugerahkan kepada kami dapat kami gunakan untuk memajukan masyarakat dan Negara kami serta dapat menyumbang kepada perkara-perkara kebaikan untuk agama kami dan bangsa Malaysia keseluruhannya.

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau jadikanlah kami sebagai hamba-hamba Mu yang tidak pernah lupa diri, yang kadang kala kami lupa dan leka atas nikmat yang Engkau anugerahkan kepada kami ini dengan mengabaikan tanggongjawab solat kami dan sebagainya.

ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
DOA MAJLIS PENUTUP MAJLIS TADARUS AL QURAN

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الانبيآء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
اللهم ربنا ورب كل شئ

Segala puji bagi Allah pemilik alam semesta. Pada hari ini kami berhimpun bagi memanjatkan rasa syukur ke hadrat Mu kerana telah mempermudahkan urusan kami menyempurnakan satu majlis yang membesarkan dan mengagongkan Mu iaitu Majlis Tadarus al Quran peringkat ……………..

Ya Allah ya Rahman, Engkau redakanlah aktiviti yang terkandung dalam Majlis Tadarus al Quran ini. Inilah yang kami termampu sempurnakan dalam kekerdilan kami.

Ya Allah ya Tuhan kami, lindungilah kami dari sifat alfa dan lalai dari mengingati Mu dan jadikanlah kami orang yang berilmu dan Engkau jauhkanlah kami dari kejahilan yang merosakkan kami.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami rasa cinta dan kasih untuk beramal dengan al Quran dan kau sinarilah hati-hati kami keenakan dan kelazatan membaca ayat-ayat Mu. Engkau basahkanlah lidah kami dengan menyebut ayat-ayat Mu dan lapangkanlah dada kami bagi menerima segala perintahMu.

ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
DOA PERPISAHAN ( BERTUKAR )

بسم الله الرحمن الرحيم الحمدلله الذى خلق السموات والارض سييأت نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذبالله من شرور انفسنا ومن اعمالنا من يهدى فلامضل له ومن يضلل فلا هادى له
Ya Allah sesungguhnya kami memohon kepada Engkau akan iman yang berkekalan, hati yang penuh khusyuk ilmu yang memberi manfaat keyakinan yang sebenar amalan yang baik, bergiat dan berusaha dalam urusan agama, sihat dan kesegaran tubuh badan yang cukup sempurna, serta kami memohon kekayaan( harta benda, iman, ilmu keperibadian dan lain yang lebih dari sekalian manusia )

Ya Allah ya tuhan kami, andainya dulu pertemuan kami demi kebaikan maka Engkau jadikanlah perpisahan ini sebagai satu jalan kebajikan. Tetap dan satukanlah hati kami kea rah keredhaan Mu meskipun kami berjauhan.

Ya Allah kekaklkanlah ikatan persahabatan antara kami sebagai ikatan persahabatan yang murni atas jalan Mu ya Allah. Semoga perpisahan kami ini juga satu perpisahan yang baik. Ya Allah Engkau jadikanlah perpishan sahabat kami ini satu perpisahan yang mendapat keberkatan daripada Mu serta berkatilah ia dan keluarganya di tempat yang baru.

Kuatkanlah semangat beliau untuk terus berbakti di tempat barunya. Tunjukkanlah jalan agar sahabat kami sentiasa cemerlang dalam kerjayanya sebagaimana beliau laksanakan sewaktu bersama kami di sini.
ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
DOA PERSARAAN

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الانبيآء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
اللهم ربنا ورب كل شئ

Ya Allah ya tuhan kami pada hari ini kami memanjatkan rasa kesyukuran terhadap Mu di atas nikmat kehidupan yang kami kecapi. Engkaulah yang telah mengajar kami tentang erti kehidupan sehingga kami saling mengasihi antara satu sama lain. Engkaulah yang menghulurkan inayah Mu sehingga kami dapat menjalankan tugas kami secara muafakat.

Pada hari ini ya Allah, Seorang daripada kami akan menamatkan tugasnya kerana bersara, namun demikian Engkau tetapkanlah muafakat kami agar sentiasa sehaluan mencari keredahaan Mu.

Engkau tetapkanlah hati sahabat kami agar sentiasa mengingati kami dan Engkau permudahkan apa jua urusan sahabat kami ini selepas persaraannya nanti. Kepada Mu jualah segala ketentuan dan Engkau tentukanlah agar sahabat kami ini beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan sepanjang hayatnya.

اللهم اجعل جمعنا هذا جمعا مرحوما وتفرقنا من بعده تفرقا معصوما ولاتجعل اللهم مافينا ولايتبعنا شقيا ولا محروما
ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الاخرة حسنة وقنا عذاب النار وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين

No comments:

Post a Comment