Sunday, August 16, 2009

KEKASIH YANG DITUNGGU...

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan. Setinggi kesyukuran dirafa’kan ke atas Rabbul Jalil atas limpahan rahmat dan kurniannya, sekali lagi dapat kita mengecapi dua nikmat terbesar yakni nikmat Iman dan Islam.

Ramadhan berasal daripada perkataan “Ramadha” yang membawa maksud “Membakar” yakni menghapuskan dosa-dosa yang berpuasa dan beribadat pada bulan Ramadhan. Ramadhan pula bermaksud bulan mendapat keredhaan Allah dan keampunan bagi hambanya. Oleh itu, rebutlah peluang yang telah diberikan oleh Allah kepada kita dengan mengisinya dengan pelbagai amalan dan ibadah kepadanya terutama di sepuluh hari yang terakhir.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang melakukan sembahyang malam pada bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu.

Diriwayatkan drpd Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadhan, di buka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta Syaitan-syaitan dibelenggu.