Sunday, December 20, 2009

KISAH NAFSU YANG DEGIL PADA PERINTAH ALLAH

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahwa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."

Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahwa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahwa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

Cahaya Cinta Bersemi

Raihanah bersyukur menjadi Muslim

INSIDEN tembakan rambang oleh Mejar Nidal Malik Hasan di pangkalan tentera Fort Hood, Texas menyebabkan Islam sekali lagi dikaitkan dengan pengganas.
KESEDARAN awal Kaci Starbuck mengenai idea diselamatkan dalam agama Kristian mula diketahui selepas dia dibaptis di Gereja Baptist Southern pada usia kanak-kanak. Apa yang difahami menerusi kelas Ahad, "Sekiranya seseorang itu tidak dibaptis, dia akan masuk neraka."
Oleh itu, upacara pembaptisan Kaci dibuat bukannya dengan sepenuh hati tetapi semata-mata untuk menggembirakan orang lain.
Dia pernah bertanya pandangan ibunya dan beliau menggalakkan Kaci melakukan upacara yang dianggap mulia dan suci itu. Jadi pada perjumpaan Ahad berikutnya, Kaci melakukan pembaptisan di hadapan jemaah lain.
"Pada penghujung syarahan pagi itu, saya berjalan ke hadapan bertemu dengan paderi. Paderi itu bertanyakan niat saya melakukan pembaptisan?
"Saya sekadar menjawab yang saya cintakan Nabi Isa dan saya tahu saya tidak bertepuk sebelah tangan. Sebaik keluarnya kata-kata itu, para jemaah lain terus memeluk erat saya," kata Kaci dalam laman web IslamOnline. net.

Cerita Kaci lagi, semasa detik awal pembabitannya dengan gereja malah semenjak di sekolah rendah, dia seorang yang begitu lantang bersuara dalam kelas-kelas Ahad.
Pada awal remaja, dia sudah mula menyertai kumpulan remaja wanitanya melakukan pelbagai aktiviti mingguan serta menyertai perkhemahan.
"Pada usia muda remaja, saya mula mengikuti perkhemahan dengan ahli-ahli kumpulan belia yang jauh lebih berpengalaman.
"Sungguhpun kami tidak saling mengenali secara rapat, namun mereka mengenalinya saya sebagai 'anak perempuan kepada penyelaras golongan muda' atau gadis yang bermain piano pada acara-acara istimewa di gereja," katanya.
Pada suatu petang di perkhemahan itu, seorang lelaki berkongsi kisah perkahwinannya. Kata lelaki yang berasal dari Amerika itu, berpacaran adalah lumrah di tempatnya berbeza di tempat isterinya yang mesti membawa bersama penjaga.

Tambah mengejutkan, mereka juga tidak dibenarkan berpegangan tangan sehinggalah selepas sah berkahwin.
Namun kerana sukakan wanita itu, lelaki berkenaan sanggup menerima sebarang syarat yang telah termaktub itu. Dalam kebingungan itu terlintas juga rasa kagum malah Kaci tidak sangka insiden sama akan berulang lagi.
Beberapa tahun kemudian, ibu bapanya bercerai. Perceraian itu bagai satu tamparan buatnya kerana selama ini dia merasakan mereka adalah contoh keluarga yang sempurna. Apa lagi, bapanya seorang paderi dan ibunya aktif dengan pelbagai aktiviti gereja.

Sejak ibu tinggal berasingan, Kaci terpaksa mengambil tanggungjawab ibu menjadi penjaga kepada bapa dan dua adik lelakinya.
Mereka masih meneruskan rutin ke gereja. Cuma apabila tiba giliran ibu, kunjungan ke gereja semakin jarang dilakukan pada setiap hujung minggu.
Dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, mereka tiga beradik berpindah tinggal dengan ibu pula. Pada masa itu, Kaci dapati ibunya tidak lagi ke gereja dan lama-kelamaan diikuti dia adik-beradik.

Kaci juga mula berkenalan dengan seorang teman wanita dalam kelas menengah yang sama. Dia seorang yang peramah.

Pergi gereja

Pada hari kedua persekolahan, dia menjemput Kaci ke rumahnya untuk bertemu keluarga dan kemudian pergi ke gerejanya.
Kehadiran Kaci diterima baik oleh keluarganya dan saya dianggap sebagai seorang anak yang baik dan membawa pengaruh yang baik.
Malah tambah memeranjatkan Kaci, apabila di gereja itu, dia diterima sebagai sebahagian daripada kumpulan mereka, walaupun mengetahui dia adalah orang luar.
Semakin banyak masa dihabiskan dengan mereka, mereka mula menerangkan serba sedikit tentang agama kepercayaan yang mereka anuti. Mereka berpegang kepada kitab New Testament.
Di mana tidak ada penggunaan muzik di dalam gereja mereka, hanya ada suara penyanyi, tidak ada diupah penceramah tetapi sekadar orang lama menyampaikan ceramah.
Malah mereka juga tidak menyambut perayaan Krismas, Easter dan cuti-cuti perayaan lain. Sungguhpun dia telah melakukan pembaptisan, namun mereka beranggapan dia akan masuk ke neraka sekiranya tidak dilakukan proses serupa sekali lagi. Ini merupakan satu kejutan yang teramat dalam soal sistem kepercayaan Kaci.
Kekeliruan itu disuarakan kepada ibunya. Sejak itu dia mula mengambil berat dengan setiap ceramah yang didengar.

Apa yang terdetik di hati Kaci, mengapa kitab Injil yang diagung-agungkan oleh pengikut Kristian tetapi tidak dibacakan di dalam ceramah-ceramah yang disampaikan tetapi paderi lebih menjurus kepada cerita-cerita?
Malah untuk melakukan pembaptisan buat kali kedua juga menimbulkan keberatan buat Kaci.
Tahun berikutnya apabila berada di kolej, Kaci mula renggang dengan gereja. Pun begitu, dia masih pergi ke kelas-kelas Ahad dan mula menyertai persatuan agama Kristian yang lain tetapi terpaksa meninggalkannya kerana tidak selesa dengan ajaran persatuan berkenaan.

Pada tahun kedua pengajian, penglibatannya dengan gereja sekadar untuk menyampaikan nyanyian koir di gereja Wake Forest kerana ia berbayar.
Pada tahun itu juga, Kaci berkenalan dengan seorang pemuda Muslim. Mereka berbual panjang bertanyakan pelbagai soalan falsafah berkaitan agama dan kepercayaan.
"Pada musim panas berikutnya, saya bekerja di sebuah kedai buku dan peluang itu saya gunakan untuk mencari bahan bacaan berkaitan Islam. Saya juga ada bertanya kepada teman-teman sekampus yang beragama Islam.
"Soalan demi soalan itu, membawa saya kepada kitab suci al-Quran. Apa sahaja topik yang saya debatkan dengannya, ada sahaja jawapan balas daripadanya.
"Lantas saya ke masjid berdekatan sebanyak dua kali pada tahun itu. Saat itu hati saya kembali gembira kerana semangat ukhuwah kuat terasa di situ.
"Sepanjang cuti musim panas itu, saya menjadi begitu sensitif terhadap apa sahaja kenyataan yang dibuat mengenai Islam, apa lagi ia sesuatu yang tidak tepat dan benar," kata Kaci yang sejak itu aktif sebagai wanita tunggal dalam Pertubuhan Kesedaran Islam di kampus.
Sejak mendalami Islam, Kaci juga banyak berubah. Dia tidak lagi makan daging babi dan menjadi vegetarian, tidak minum alkohol dan mula melaksanakan puasa Ramadan.

Satu perubahan drastik yang diambilnya iaitu menyembunyikan rambut pada penghujung semester persekolahan. Pada saat itu dia tidak tahu mengenai pemakaian hijab di dalam Islam.
Kaci juga melayari Internet untuk mencari teman-teman maya bermatlamat mempelajari Islam daripada mereka yang seusia dan beragama Islam.
"Beberapa hari kemudian, saya mendapat respons daripada tiga Muslim iaitu dari Pakistan yang belajar di Amerika, seorang India yang belajar di United Kingdom dan seorang yang berasal dari Emeriah Arab Bersatu (UAE).
"Pada saat itu, saya benar-benar yakin dengan Islam apa lagi Islam meletakkan semua manusia itu sama, tanpa mengira warna kulit, umur, jantina, bangsa dan banyak lagi.

Mengucap syahadah

"Saya menyuarakan hasrat melakukan syahadah kepada seorang saudara Muslim menerusi telefon dan berazam akan ke masjid pada keesokan harinya.
"Saya ke sebuah masjid bersama seorang saudara Muslim dari Wake Forest dan adiknya yang bukan Islam tetapi tidak meluahkan hasrat memeluk Islam kepada mereka.
"Saya hanya memberitahu yang saya hendak bertemu dengan imam selepas khutbah nanti. Selesai solat, saya bertanyakan apakah perkara-perkara yang mesti dilakukan sebelum seseorang itu memeluk Islam.
"Selain mengucap syahadah, dia juga mesti mengetahui tentang Islam. Saya mengucap syahadah pada 12 Julai 1996, selepas setahun mempelajari Islam," kata Koci.

Beliau kini menggunakan nama Raihanah atau Umm Asadullah.
Sejak itu, Raihanah mula belajar mendirikan solat dan kemudian melawat ke sebuah masjid yang terletak di Winston-Salem dan mula memakai hijab dua minggu kemudian.
Menyambung pengajian kolej, Raihanah mula aktif dengan aktiviti persatuan sebelum dilantik menjadi ketua bagi muslimat.
Semasa separuh akhir pengajian, Raihanah mengambil kursus elektif iaitu Agama Islam, Kristian dan agama Yahudi.
Ia adalah sesuatu yang indah baginya kerana mewakili Islam dan seterusnya menjelaskan kebenaran Islam dan ummah Muslim. Oleh itu, tidak harianlah, dia menerima gelaran 'Mother Kaci'.